Search

Sambutan Krismas Kota Kinabalu 12 hingga 15 Disember

December 5, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Gereja-Gereja Sabah bersama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bakal kembali menganjurkan Kota Kinabalu Christmas Celebration (KKCC) 2023 kali ke-18, di Padang Merdeka, di sini, bermula 12 hingga 15 Disember.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, tema sambutan yang dipilih pada tahun ini adalah “Krismas: Perpaduan dan Harmoni” yang merupakan seruan untuk bersatu dan bersama-sama walaupun kita mempunyai perbezaan.

Katanya, ia juga mengingatkan kepada semua bahawa kita adalah satu komuniti, dan harus berusaha untuk mempromosikan perdamaian, kasih sayang, dan pemahaman dalam kalangan masyarakat.

“Majlis Perasmian KKCC 2023 akan dilaksanakan pada 12 Disember 2023 yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri , Datuk Seri Hajiji Noor.

“Sambutan acara Krismas ini adalah terbuka kepada seluruh orang awam sepanjang empat malam berturut-turut, bermula pada jam 6 petang hingga 10 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Junainah berkata, persembahan pentas akan dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian, tarian dan drama oleh gereja dan para artis tempatan Sabah seperti The Male-Efficient, Joe Balanjiu Jr, Esther Applunius, Monica Marais, Persekutuan Kayan Sabah, Sylvilina, La Cantare Group, Leslie Augustus, persembahan koir dari denominasi gereja yang berbeza dan ramai lagi yang akan menyemarakkan perayaan Krismas ini.

Katanya, lagu tema KKCC 2023 yang bertajuk “Kasih Natal” akan bergema sepanjang malam KKCC sebagai seruan kesatuan kita. “Selain itu, KKCC Sunset Fun Run 5KM akan diadakan pada 10 Disember, sebagai pembuka acara KKCC 2023. Larian ini akan dimulakan pada jam 5.30 petang.

“Pihak jawatankuasa penganjur menganggarkan penyertaan seramai 600 pendaftaran dari seluruh warga Kota Kinabalu di mana larian sejauh 5 kilometer ini bermula dari Padang Merdeka ke Sabah International Convention Centre (SICC) dan garisan penamat kembali ke Padang Merdeka.

“Acara larian berkenaan turut dimeriahkan oleh Life Water Industries Sdn Bhd bagi tajaan air,” katanya.

Junainah berkata, program-program menarik selepas larian seperti cabutan nombor bertuah dan kostum menarik juga akan dilaksanakan.

Selain itu, katanya, laungan nyanyian Christmas Carol oleh para jemaat gereja di seluruh Kota Kinabalu akan dipersembahkan di kawasan tertentu di bahagian belakang pentas utama untuk para tontonan pengunjung.

“Pelbagai gerai jualan yang dibuka dengan menawarkan bermacam-macam barangan, makanan, peralatan Krismas, barangan hasil tempatan dan banyak lagi khusus untuk pengunjung KKCC 2023 ini.

“Dekorasi Krismas tahun ini juga akan diwarnai oleh persembahan lampu yang akan memukau para pengunjung yang hadir.

“Turut memeriahkan hiasan Krismas seperti Nativity Hut dan Pokok Krismas berukuran 50 kaki x 20 kaki. Hiasan lampu Krismas yang menarik akan memberikan suasana yang harmoni buat pengunjung dan tetamu yang hadir.

“Semangat sambutan Krismas ini juga akan kita kongsikan bersama badan-badan amal yang terpilih, yang mana kempen kutipan amal akan dijalankan sepanjang empat malam ini.

“Kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah juga tidak dilupakan yang mana hadiah natal akan diberikan kepada mereka sepanjang sambutan ini berjalan,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang tidak dapat hadir ke Padang Merdeka boleh mengikuti siaran langsung perayaan itu yang boleh ditonton di laman Facebook rasmi iaitu 18TH Kota Kinabalu Christmas Celebration.

“Akhir kata, marilah kita memeriahkan sambutan ini sebagai satu kebersamaan kita dalam komuniti,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini bolehlah menghubungi Sr Lifred Wong di talian 013-870 0264 dan Mandy Nancy Joe di talian 012-842 7080. – Info X