Search

Warga emas meninggal dunia selepas 2 hari bertarung nyawa

December 5, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Selepas dua hari bertarung nyawa, seorang wanita warga emas yang parah akibat kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kimanis – Keningau, di sini, meninggal dunia, semalam.

Mangsa berusia lingkungan 70 tahun terbabit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu, 12.30 tengah hari.

Dalam kemalangan jam 1.30 tengah hari, Sabtu lalu, lapan termasuk pemandu turut cedera namun semua mereka dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa bersama lapan ahli keluarganya menaiki kereta jenis Toyota Avanza dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu selepas menghadiri majlis kahwin di Keningau.

“Semua mereka adalah berkeluarga antara satu sama yang lain. Menurut pemandu apabila kenderaan yang mereka naiki itu sedang menuruni jalan bukit dan berselekoh di lokasi kejadian, kenderaan itu mengalami kerosakan brek.

“Susulan itu pemandu tidak dapat mengawal kenderaannya dengan baik lalu terbabas ke sebelah kanan dan merempuh tebing bukit di bahu jalan kemudian masuk ke dalam semak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keadaan kenderaan Toyota Avanza yang terbabit kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kimanis – Keningau, Papar. – Foto/PDRM

Menurutnya, akibat rempuhan di tebing bukit itu, kenderaan berkenaan berpusing dan terbalik.

Katanya, pemandu dan lapan penumpang cedera manakala mangsa warga emas cedera di dada dan dibantu keluar daripada kenderaan oleh penumpang yang lain.

“Mangsa warga emas telah dikejarkan ke Hospital Papar menggunakan ambulans untuk rawatan awal dan kemudiannya dirujuk ke QEH Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan QEH kira-kira jam 12.30 tengah hari, Sabtu lalu. Manakala pemandu dan mangsa yang lain dalam keadaan stabil,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X