Search

Ratu rock Ella tidak sabar mahu hiburkan ‘urang’ Sabah

December 4, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas kejayaan konsert ketiganya dengan kehadiran hampir 14,000 orang di Pulau Pinang pada 28 Oktober lalu, ratu rock negara, Ella kini kembali untuk beraksi di hadapan ‘urang’ Sabah terutamanya yang berada di sekitar bandar raya ini.

Ella bakal membuat persembahan keempatnya pada 20 Januari 2024, bermula jam 8:30 malam di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.

Susulan itu, satu sidang media eksklusif konsert ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’ yang dibawakan khas oleh Hitman Solutions bersama syarikat RockQueen, telah diadakan di Imago Shopping Mall, tengah hari semalam.

Mengambil petikan seusai konsertnya di Pulau Pinang, Ella berkata, “Alhamdulillah, sokongan padu daripada peminat membuatkan saya bersemangat untuk meneruskan siri jelajah ini, dan bagi memuaskan hati semua pihak, kami akan ke Kota Kinabalu, Sabah pula, dan tidak sabar rasanya untuk menghiburkan ‘urang’ di sana.

“Semoga peminat saya semua akan terhibur dan bahagia menyaksikan konsert saya nanti, pastinya sebuah pengalaman indah dan menjadi kenangan manis yang bakal dirindukan…Peace, Love, Rindu,” katanya.

Selain giat mempromosikan konsertnya, Ella juga aktif dalam bidang perniagaan produk RockQueen seperti abaya dan buku biografi yang bertajuk ‘Rockers Juga Manusia’.

Masih mengekalkan tema ‘Glam Rock’, konsert yang dijangkakan berlangsung sekitar 2 dua jam lebih bakal disajikan dengan kira-kira 25 ke 30 buah lagu bergantung dengan permintaan peminatnya, dan pastinya ada artis jemputan yang masih dirahsiakan nama mereka sebagai kejutan.

Ella kini sedang menjalankan sesi latihan muzik beberapa kali seminggu bersama  pengarah muzik, Datuk Acis serta aktiviti rutin kecergasannya demi membina stamina menuju hari konsert tersebut.

Sementara itu. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, setelah kejayaan konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berjaya memecahkan rekod The Malaysia Book of Records dengan penjualan tiket ‘sold-out’ dalam masa 24 jam, ia membuktikan bahawa Ella sememangnya ratu rock negara yang tiada tandingan.

“Demi menyahut permintaan peminat Ella yang tidak berpeluang menonton konsert tempoh hari, pihak Hitman Solutions sedaya-upaya memberikan kepuasan sepenuhnya kepada penggemar rock di Sabah pula, dan nantikan pengumuman kami yang seterusnya.

“Terima kasih khas kepada rakan radio rasmi kami, Imago Shopping Mall (rakan pusat membeli-belah), Ming Garden Hotel & Residences, dan D’Bundle Mania serta JeeHarris Corporation & Firm Horizon,” katanya.

Tiket-tiket sudah pun mula dijual pada 9 November jam 12:00 menerusi laman web www.hitmanlive.com dan jualan tiket fizikal di semua cawangan D’bundle Mania.

Sebarang pertanyaan berkenaan konsert JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA EDISI KOTA KINABALU boleh diajukan kepada JoeSaiful 012 204 8142. – Info X