KOTA KINABALU: Seramai 54 atlet Sabah yang berjaya memenangi pingat dan mengharumkan nama Malaysia dalam empat temasya sukan bertaraf antarabangsa tahun ini menerima insentif kemenangan berjumlah RM304,000.
Jumlah itu masing-masing RM91,500 yang dibayar kepada atlet Sukan SEA Ke-32 Cambodia, diikuti Sukan PARA ASEAN Ke-12 Cambodia (RM126,000), Sukan Asia Ke-19 Hangzhou (RM46,500) dan Sukan PARA Asian Keempat Hangzhou sebanyak RM40,000.
Insentif itu disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Meraikan Atlet Sabah dalam keempat-empat kejohanan berkenaan di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya sempena majlis itu, Hajiji berkata pemberian insentif berkenaan adalah setimpal dengan kesungguhan dan dedikasi atlet negeri ini.
Pada masa yang sama, katanya pemberian insentif itu juga sebagai satu pendekatan untuk menarik minat dan meningkatkan penyertaan anak muda Sabah dalam bidang sukan.
“Pemberian insentif ini juga diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan penguat semangat untuk mereka lebih berjaya pada masa hadapan sejajar dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk melahirkan atlet bertaraf dunia,” katanya.
Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan atlet negeri ini dalam empat temasya sukan antarabangsa itu.
Sementara itu, katanya, sebagai tanda sokongan dan galakan terhadap pembangunan sukan di Sabah, kerajaan negeri memperuntukkan RM27.13 juta dalam Belanjawan Sabah 2024 kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.08 juta diperuntukkan untuk pembangunan sukan massa, RM20 juta untuk pengurusan dan pembangunan sukan prestasi tinggi oleh Majlis Sukan Negeri Sabah dan RM5.05 juta untuk pemberian sukan.
“Kerajaan negeri terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan selain menyediakan prasarana dan teknologi sukan yang moden dari semasa ke semasa.
“Selain itu, ia juga bagi memenuhi keperluan atlet untuk berlatih dengan lebih efisien dan bertanding pada tahap tenaga maksima,” katanya.
Katanya, Sabah mempunyai visi untuk melahirkan atlet bertaraf dunia dengan berlandaskan kepada tiga teras utama iaitu Sukan Prestasi Tinggi, Industri Sukan dan Sukan Massa.
Kerajaan negeri juga, katanya sentiasa berusaha mengajak masyarakat untuk bergiat aktif dalam sukan demi meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan rakyat.
Hajiji berkata, beliau sentiasa mengikuti dengan rapat perkembangan, kemajuan dan pencapaian Kementerian Belia dan Sukan Sabah khususnya yang membabitkan atlet negeri ini.
“Saya senang hati apabila melihat pacuan program dan pembangunan yang jitu oleh pihak kementerian yang terus berusaha melaksanakan perancangan komprehensif untuk negeri Sabah,” katanya. – Info X