KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 12,000 ekor penyu dipercayai mati untuk menyamai jumlah 9,000 kilogram (kg) isi daging penyu kering yang berjaya dirampas dalam operasi Op Taring Gelora di Mangsee Reef, Kudat, 29 November lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, nilai daging penyu yang mencecah harga RM500 sekilogram untuk dijadikan sebagai makanan eksotik itu dipercayai menyumbang kepada kerancakan aktiviti penangkapan haiwan berkenaan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, semua penyu-penyu berkenaan dipercayai ditangkap di perairan laut Sulu dan Laut China Selatan untuk mengimbangi permintaan tinggi di pasaran luar negara.

“Polis percaya, haiwan ini bukan saja ditangkap sendiri tetapi juga dibeli daripada beberapa pihak lain sebelum dijual kepada pembeli dari luar negara.
“Mengikut anggaran Jabatan Hidupan Liar (JHL), jumlah rampasan kali ini membabitkan sekurang-kurangnya 12,000 ekor penyu ditangkap secara haram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, kejayaan rampasan hasil laut kali ini adalah yang terbesar dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) di Sabah tahun ini.
Katanya, dalam operasi sama, polis turut berjaya merampas kulit kerang dan siput pelbagai spesis (2 tan), balat susu (90 kilogram), kuda laut (150 kilogram), rumpai laut (80 kilogram), sirip yu (5 kilogram), kerapu (200 kilogram) yang semua dikeringkan.
“Polis percaya nilai keseluruhan rampasan semua hasil laut berkenaan dianggarkan berjumlah lebih RM5 juta.
“Bot dan semua barangan dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung bot yang membawa semua hasil laut berkenaan, Jauteh berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan didaftarkan di daerah Semporna dan kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, polis juga akan menyiasat sama ada kapal pemilik kapal terlibat secara langsung ataupun disewa oleh pihak lain.
Dalam operasi 29 November lalu, sebuah bot yang membawa pelbagai hasil laut yang sudah dikeringkan dan spesis hidupan laut terancam berjaya ditahan.
Difahamkan, bot berkenaan dinaiki empat individu lelaki yang bertindak terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berenang ke kawasan cetek dan menghilangkan diri. – Info X