Search

Sambutan Krismas satu peringatan nilai kemanusiaan, kasih, harapan dan perpaduan – Arthur

December 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Natal atau Krismas bukan sekadar sambutan keagamaan tetapi juga satu peringatan mengenai nilai kemanusiaan, kasih, harapan dan perpaduan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup, menyifatkan nilai itulah menjadi asas kepada pembinaan Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada aspek keharmonian, saling hormat menghormati dan kebersamaan tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

“Pada zaman yang penuh cabaran ini, semangat inilah yang akan terus mengukuhkan ikatan antara kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya dalam perutusan sambutan Krismas beliau, di sini, pada Rabu.

Ahli Parlimen Pensiangan itu turut menyatakan harapannya agar sambutan Hari Natal tahun ini membawa sinar kegembiraan, kedamaian dan mempereratkan hubungan sesama rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook turut mengajak rakyat negara ini untuk terus berganding bahu demi membina Malaysia yang lebih bersatu, sejahtera dan berdaya tahan.

“Kepada semua rakyat Malaysia yang meraikan Hari Natal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal.

“Semoga musim perayaan ini membawa kegembiraan, kedamaian dan kasih sayang kepada seluruh keluarga,” katanya. – Info X