KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di Pekan Inanam, dekat sini, Pada 6 Februari ini.
Berikutan itu, parti berkenaan menjemput orang ramai untuk sama-sama memeriahkan sambutan berkenaan yang bakal diserikan dengan pelbagai persembahan berwarna-warni.
Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook berkata, Tahun Baharu Cina yang menandakan permulaan tahun baharu mengikut kalender lunar Cina sangat bermakna dalam budaya masyarakat berkenaan.
“Pada tahun ini ia menandakan permulaan Tahun Ular, yang menurut kepercayaan masyarakat Tionghua akan membawa kegembiraan, tenaga positif dan kemakmuran berlimpah.
“Oleh demikian, kita menjemput orang ramai dan keluarga untuk meluangkan masa hadir bersama-sama meraikan perayaan berwarna-warni ini.
“Acara yang dirasmikan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick itu akan turut dihadiri pemimpin negeri bersama ketua-ketua masyarakat Cina khususnya di kawasan Sepanggar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengedarkan risalah jemputan kepada orang ramai di Pekan Inanam, di sini.
Thien Fook berkata, acara akan dimulakan seawal jam 5 petang dengan program Jualan Madani yang menawarkan pelbagai barang keperluan pada harga rendah.
Katanya, ia disusuli dengan persembahan tarian singa dan naga serta ahli silap mata selain nyanyian daripada artis jemputan terkenal.
“Program ini juga akan merangkumi acara seperti ‘lau sang’, kehadiran Dewa Kekayaan, pemberian ‘ang pow’ kepada warga emas dan kanak-kanak dan banyak lagi.
“Acara ini terbuka kepada orang ramai dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi wakil pihak penganjur, Fardy Bungga 014-6782920 atau Felix Vun di talian 016-8222802.
“Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan yang penuh semangat dan kemeriahan ini.
“Datanglah beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan untuk memeriahkan acara sambutan Tahun Baharu Cina 2025 UPKO Malaysia,” katanya. – Info X