KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas selepas terlanggar lubang berhampiran Jejambat Lido, Jalan Lintas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), jam 1.35 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa seorang diri dari arah City Mall, menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Katanya, ketika melalui lorong tengah jalan raya sebelum menaiki jejambat Lido, dipercayai terlanggar lubang pada permukaan jalan raya yang rosak dilorong tengah jalan raya.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal terbabas dan terjatuh kira-kira enam meter ke arah hadapan di atas jalan raya.

“Mangsa parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Unit Kecemasan HQEI, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, pihaknya dimaklumkan oleh HQEI, bahawa mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan yang berhati-hati dan sentiasa patuh kepada peraturan lalu lintas,” katanya. – Info X