Search

Sang Badak tak mudah tunduk walaupun tewas

July 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemain Sabah FC menunjukkan corak permainan yang positif walaupun tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata anak buahnya tetap menunjukkan permainan yang baik meskipun tanpa kehadiran beberapa tonggak penting pasukan.

Kekalahan itu juga katanya berpunca daripada kelekaan pasukan pada separuh masa pertama dan sepakan penalti JDT pada minit kecederaan sebelum wisel penamat.

“Keputusan tentu mengecewakan, namun tanpa pemain utama, kita menunjukkan satu corak permainan seperti yang kita inginkan.

“Dua gol pada separuh masa pertama adalah akibat kelekaan kita, jadi ini menyukarkan.

“Namun, pada separuh masa kedua, kita membuktikan mampu mendapatkan gol dan bersaing sebelum sepakan penalti yang amat mengecewakan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

JDT mendapat dua gol pada separuh masa pertama melalui Romel Oswaldo Morales, masing-masing pada minit ke-20 dan ke-23 serta gol penutup 3-1 melalui sepakan penalti pada minit akhir masa tambahan babak kedua oleh Bergson Gustavo Da Silva.

Kim Swee mengakui ketiadaan Darren Lok dan Saddil Ramdani yang tidak diturunkan kerana masih mengalami kecederaan, sedikit sebanyak mengganggu sistem permainan pasukan.

“Mungkin ketiadaan Darren, Saddil dan lain-lain lagi tonggak utama kita itu mengganggu sistem permainan kita.

“Namun, ia juga memberi peluang untuk pemain lain terutama yang jarang diturunkan seperti Azhad Harraz Arman dan Harith Naem Jaineh, terutama pemain tempatan kita untuk membuktikan kebolehan masing-masing.

“Kita boleh nampak mereka mencuba sedaya upaya dan saya percaya mereka memerlukan banyak masa untuk menyesuaikan diri, namun mereka memberikan yang terbaik,” katanya. – Info X