KOTA MARUDU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengumumkan kejayaan usaha kerajaan menoktahkan miskin tegar di negeri ini pada akhir Julai lalu.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen semua pihak di negeri ini selaras aspirasi Kerajaan Madani dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025).
“Saya mengumumkan bahawa kita sudah berjaya menghapuskan miskin tegar di negeri ini pada 31 Julai lalu,” katanya pada pelancaran projek penanaman padi di Kampung Ongkilan, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sawit Kinabalu adalah antara yang membantu usaha kerajaan menghapuskan miskin tegar di negeri ini.

“Saya berharap GLC di negeri ini akan terus menyediakan peluang pekerjaan kepada belia kita.
“Ini sudah tentu membantu usaha kerajaan negeri melalui Sekretariat SMJ dan Pejabat Pembangunan Sabah untuk menoktahkan miskin tegar,” katanya.

Pada sambutan Kaamatan 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan masalah miskin tegar di Sabah akan diselesaikan sebelum akhir Julai tahun ini menerusi usaha yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dan negeri. – Info X