Search

Satu maut, tiga cedera kereta terbabas

August 8, 2024

Info X Reporters

TAMBUNAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dinaiki terbabas di Jalan Tambunan, Kampung Pahu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, tiga lagi penumpang kereta Perodua Kancil turut cedera.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.43 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Severinus Sixtus Geoffrey bergegas ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai terbabas sendiri di bahu jalan. Terdapat empat mangsa dilaporkan terbabit.

“Dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas dan dua lagi berjaya dikeluarkan oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta di Jalan Tambunan, Kampung Pahu, Tambunan. – Foto/Bomba

Riki berkata, seorang daripada mangsa berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tiga mangsa berusia 61 hingg 64 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Tambunan oleh ambulans untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 8.05 malam. – Info X