PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyatakan beliau masih belum mendapat sebarang makluman berkaitan tindakan kepimpinan tertinggi Umno Pusat ke atas dirinya.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau difahamkan perkara terbabit akan dibawa ke Lembaga Disiplin Umno untuk tindakan selanjutnya.
“Seperti yang dinyatakan presiden bahawa lembaga disiplin akan bermesyuarat dan seterusnya akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.
“Jadi kita tunggulah…kita bertenang dan tunggu apa keputusan yang akan diumumkan kelak,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sudah menerima sebarang pemakluman daripada Umno Pusat ekoran tindakannya yang menyatakan sokongan ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, beliau secara tidak rasmi difahamkan, kepimpinan Umno Sabah mengkehendaki lima Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno negeri dikenakan tindakan.
“Itu kehendak kepimpinan Umno negeri untuk membawa perkara terbabit ke lembaga disiplin untuk menilai dan membuat keputusan dalam mesyuarat kerja tertinggi.
“Kita ikut sahaja peraturan dan apa sahaja keputusan yang akan dimaklumkan nanti,” katanya.
Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan tindakan terhadap empat ADUN yang terlibat dalam kemelut antara Umn-Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri terbabit bakal diputuskan berasingan daripada tindakan lain yang dibuat Umno.
Selain itu, Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan pihaknya mengambil pendekatan tempoh bertenang berkaitan kemelut politik yang melanda Sabah. – Info X