Search

Segera atasi masalah bekalan elektrik di Kampung Luasong – MP Kalabakan

April 24, 2023

admin



TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy meminta pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah bekalan elektrik yang terputus sejak bulan lalu di Kampung Luasong, di sini.

Katanya, masalah berkenaan berpunca daripada kerosakan penjana kuasa diesel yang disediakan oleh pihak Yayasan Sabah, sekaligus membebankan lebih kurang 200 penduduk kampung yang terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa bekalan elektrik.

Penjana kuasa itu merupakan satu-satunya sumber bekalan elektrik ke kampung berkenaan sementara menunggu penyiapan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Luasong yang kini turut mengalami kelewatan.  

“Penjana kuasa itu dikatakan mengalami kerosakan sejak bulan puasa bermula dan penduduk yang saya temui mengadu mengenai permasalahan ini.

“Saya berharap tindakan segera diambil oleh pihak berwajib bagi menangani permasalahan ini dan saya juga difahamkan ini bukan kali pertama masalah ini berlaku kerana dalam tahun ini sudah beberapa kali penduduk kampung mengalami masalah ketiadaan bekalan elektrik disebabkan kerosakan penana kuasa utama itu,” kata Andi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Kembara Ramadan Parlimen Kalabakan di Masjid Nurul Amal, Kampung Luasong, yang terletak kira-kira 94 kilometer dari bandar Tawau, baru-baru ini.

Sementara itu, Andi juga berharap, penyiapan projek BELB Luasong dapat dipercepatkan agar para penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada penggunaan penjana kuasa yang sering kali rosak itu.

Menurutnya, projek BELB Luasong setakat ini baharu siap 73 peratus, berbanding 94 peratus yang sepatutnya seperti dalam jadual.

Katanya, beliau dimaklumkan kelewatan projek tersebut disebabkan oleh bekalan kabel tidak dapat diperolehi mengikut masa diperuntukkan, kelewatan FAT (factory acceptance test) untuk peralatan LBS dan AR dan pihak sub kontraktor tidak dapat membekalkan tenaga pekerja.

“Saya berharap masalah yang dihadapi ini dapat ditangani secepat mungkin agar projek BELB ini dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan penduduk yang amat memerlukan kemudahan ini,” ujar Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu. – Info X