KENINGAU: Selepas lebih 10 tahun, Hari Keluarga Arifin Badau kembali diadakan baru-baru ini, di The Duo, Apin-Apin, di sini.
Hari keluarga itu berlangsung selama dua hari bermula Jumaat dengan pelbagai acara diadakan termasuklah perkemahan, bola sepak, sukaneka dan kemuncaknya iaitu makan malam keluarga.

Pengerusi Penganjur, Jessie John Angian berkata, matlamat utama hari keluarga yang diadakan itu adalah untuk menghimpunkan semula ahli-ahli keluarga Arifin Badau.
Katanya, program yang sebelum ini setiap tahun diadakan itu dicetus semula oleh cucu-cucu Allahyarham Arifin Badau sehinggalah ianya menjadi realiti pada tahun ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang memberikan tajaan dan sumbangan.
“Tujuan hari keluarga ini diadakan tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menghimpun dan menyatukan semula keluarga Arifin Badau, sesuai dengan tema kali ini iaitu ‘kita bersatu, keluarga teguh.
“Ramai di kalangan ahli keluarga yang belum saling mengenal terutama generasi-generasi baharu, jadi ini adalah peluangnya,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu, wakil kepada anak-anak Arifin Badau, Rusdeh Arifin berkata, penganjuran semula Hari Keluarga Arifin Badau diharap menjadi satu titik permulaan kepada program berkenaan agar ianya kembali diadakan pada setiap tahun.
“Kalau saya tidak silap, kali terakhir ianya (hari keluarga) diadakan ialah pada 2013, saya boleh katakan hari keluarga kita pada tahun ini adalah yang terbaik pernah diadakan walaupun tidak semua ahli keluarga dapat bersama-sama.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Keluarga Arifin Badau ini,” katanya. – Info X