KOTA KINABALU: Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau, hari ini.
PATI yang ditahan di Depot Imigresen Tawau itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut feri Francis Express, ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata, pemindahan membabitkan 53 lelaki dan enam wanita berusia 21 hingga 59 tahun.
Katanya, proses pemindahan tahanan dengan iringkawal masuk sehingga ke dalam feri.
“Ini adalah program pemindahan siri 5 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing.
“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Katanya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua depot imigresen di negeri ini
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya. – Info X