Search

Sistem CMFS sasar tingkatkan pengeluaran padi kawasan Magatang

March 6, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Pelaksanaan Sistem Pengurusan Perladangan Berpusat (CMFS) di kawasan penanaman padi Kampung Magatang, di sini, disasar untuk meningkatkan pengeluaran padi hingga lima tan metrik sehektar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata sistem itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di negeri ini dengan kerjasama syarikat swasta.

Katanya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bekerjasama dengan syarikat Agriculture Chemicals (M) Sdn Bhd (ACM) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau bagi melaksanakan program perintis itu.

“Melalui kerjasama ini, petani akan diterapkan dengan amalan pertanian yang tepat di samping mendedahkan mereka dengan teknologi, pengurusan secara agronomi dan pengunaan input yang betul.

“Inovasi CMFS adalah selari dengan hasrat kementerian untuk membudayakan konsep Inovsasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR).

“Kita juga berharap agar lebih banyak lagi inovasi akan diwujudkan bagi memastikan peningkatan produktiviti dan kelestarian sektor agro makanan negara bergerak seiring dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Peladang Sempena Pelancaran Sistem CMFS di Kampung Magatang, dekat sini, semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Keningau, Alexius Paulus; Pengarah LPP Sabah, Hadriyani Ahmad dan 150 pesawah Kampung Magatang.

Menerusi sistem itu, Arthur berkata kementeriannya mensasarkan untuk meningkatkan pengeluaran padi di kawasan Magatang kepada purata empat hingga lima tan metrik sehektar berbanding 2.5 tan metrik sehektar ketika ini.

Pada majlis itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menyampaikan Bantuan Khas Sumbangan Tunai 2024 (BKST 2024) kepada pesawah yang aktif menanam padi.

“Bagi BKST Fasa 2, PPK Keningau menerima RM630,000 untuk diagihkan kepada 1,050 penerima dengan setiap pesawah menerima RM600 seorang.

“Kita juga meminta pesawah, petani dan peladang yang belum lagi berdaftar dengan PPK supaya segera berbuat demikian kerana ada pelbagai manfaat boleh diperolehi jika menjadi ahli Pertubuhan Peladang seperti kursus, bantuan baja dan subsidi,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini seramai 2,701 petani berdaftar dengan PPK Keningau, manakala kira-kira 200 orang lagi belum berdaftar.

Dalam pada itu, Arthur berkata kementeriannya melalui jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan syarikat swasta.

Pendekatan itu, katanya bagi menggembleng sumber dan kepakaran masing-masing untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan agar kebergantungan kepada bekalan import dapat dikurangkan. – Info X