Search

SEMAK SEGERA GLC, AGENSI KERAJAAN TIDAK TUNJUK PRESTASI – HAJIJI

July 4, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengarahkan semakan segera terhadap perjanjian dan kontrak membabitkan semua agensi negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak berprestasi serta merugikan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan kepada pegawai yang ditugaskan untuk memeterai perjanjian dan kontrak terbabit agar mengambil kira kepentingan negeri.

“Sebab itu saya ingin menegaskan di sini agar mana-mana agensi kerajaan apabila buat perjanjian, pastikan perjanjian)
itu mengambil kira kepentingan negeri.

“Pegawai yang terbabit juga termasuk pegawai undang-undang kena tengok dan baca dengan telitii setiap isi kandungan perjanjian,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Siri Ke-120di Menara Kinabalu pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Pengarah Yayasan Sabah selaku Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan.

Dalam mesyuarat itu, Ketua Menteri turut mengumumkan pencapaian ICSB, jentera
pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah yang berjaya meningkatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM424 juta berbanding RM112 juta pada tahun 2020.

“Kenaikan ini adalah sebanyak RM312 juta atau empat kali ganda dari tahun
sebelumnya.

“Ia sekali gus menjadikan kenaikan tertinggi yang dicatat oleh ICSB dalam tempoh sembilan tahun,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menyatakan pendapatan bagi Kumpulan ICSB menunjukkan kenaikan ketara daripada
RM819 juta pada 2020 kepada RM1.2 bilion pada 2021.

Menurutnya, pertambahan berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 45
peratus atau RM369 juta adalah yang tertinggi dicatatkan oleh ICSB sejak 2013.

“Bagi Kumpulan Yayasan Sabah pula, lebihan (surplus) sebelum cukai pada 2021 ialah RM358.12 juta berbanding lebihan pendapatan sebelum cukai 2020 sebanyak RM18.5 juta iaitu peningkatan sebanyak RM339.62 juta atau 1836 peratus.

“Peningkatan ketara dalam lebihan pendapatan sebelum cukai pada 2021 adalah disebabkan peningkatan hasil pada 2021 iaitu berjumlah RM1.2 bilion berbanding pendapatan pada 2020 yang berjumlah RM830.43 juta.

“Kerajaan negeri juga mahu melihat anak-anak syarikat ICSB diperkasakan agar tidak menjadi bebanan dan masalah kepada Yayasan Sabah.

“Pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Board Of Governor UCSF (University
College Sabah Foundation) dan Naib Canselor baharu umpamanya, kita harap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi UCSF.

“Begitu juga dengan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), saya mahu masalah yang
dihadapi dapat diatasi dengan pantas dan dapat menarik lebih ramai pelajar baharu
sekali gus membuka peluang lebih ramai anak Sabah melanjutkan pelajaran khususnya dalam bidang teknikal,” katanya. – Info X