KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran yang diberikan kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk meneruskan semakan kehakiman berkaitan kelayakan perlembagaan 40 peratus hasil yang dituntut Sabah.
Rayuan Peguam Negara bergantung kepada empat soalan undang-undang utama, memfokuskan kepada sama ada permohonan SLS jatuh di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Persekutuan, sama ada SLS mempunyai kedudukan untuk membawa semakan itu dan sama ada perkara itu boleh dibenarkan.
Menerusi satu kenyataan, di sini, bekas Presiden SLS, Datuk Roger Chin, berkata walaupun dengan hujah berkenaan, Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang, dengan tegas mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini, iaitu membenarkan SLS meneruskan semakan kehakiman.
“Mahkamah jelas – hujah Peguam Negara bahawa perkara ini terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 128(1)(b) gagal dipegang.
“Semua hakim mendapati, pada peringkat ini, tiada pertikaian wujud di antara Sabah dan Persekutuan yang akan mencetuskan bidang kuasa itu.
“Mereka seterusnya menegaskan bahawa SLS mempunyai kedudukan yang diperlukan untuk membawa perkara ini ke semakan kehakiman,” katanya.
Dalam prosiding itu, Peguam Negara diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi bersama Peguam Persekutuan, Kogilambigai a/p Muthusamy dan Liyana Muhammad Fuad.
Sementara itu, peguam David Fung Yin Kee, Jeyan Marimuttu dan Janice Junie Lim mewakili SLS.
Sebelum ini, SLS memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar Perintah Kerajaan Persekutuan pada 2022, yang dikeluarkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian khas Sabah, yang mana kelayakan yang berakar umbi dalam Perkara 112C itu sudah lama tertunggak.
SLS berhujah bahawa kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah gagal menjalankan semakan kedua mandatori di bawah Perkara 112D pada 1974, sekali gus melengahkannya selama 48 tahun.
Kelewatan itu disifatkan oleh SLS, telah mengakibatkan kerugian kewangan yang besar bagi rakyat Sabah yang dilucutkan pembayaran sah pada ‘tahun-tahun yang hilang’ itu.
Dalam keputusan hari ini, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa, memandangkan tiada kes prima facie untuk mewujudkan bidang kuasa eksklusif di bawah Perkara 128(1)(b) dan memandangkan SLS mempunyai kedudukan ambang, tiada keperluan untuk memberikan kebenaran bagi rayuan Peguam Negara itu.
Isu kedudukan SLS, mahkamah menyatakan bahawa, ia boleh dikaji semula ketika semakan substantif, jika ada keperluan.
Mengenai kewajaran, mahkamah memutuskan dengan tegas bahawa kegagalan untuk menyemak Geran Khas Sabah adalah soal undang-undang, bukan dasar menutup pintu untuk sebarang rayuan lanjut mengenai perkara itu.
Sementara itu, Roger berkata, dengan kemenangan yang memberangsangkan itu, semakan kehakiman akan diteruskan ke fasa seterusnya, di mana merit kes akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu.
Katanya, mahkamah menetapkan sesi pengurusan kes pada 30 Oktober ini.
“Keputusan ini adalah satu langkah penting ke hadapan bagi SLS dan rakyat Sabah dalam mencari keadilan tertunggak dan pampasan yang adil. SLS akan terus memberikan kemas kini mengenai kes kritikal ini,” katanya. – Info X