Search

RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dirujuk ke JPKP selepas bacaan pertama – Madius

October 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parlimen dicadang supaya terlebih dahulu merujuk setiap Rang Undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) selepas bacaan kali pertama.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata prosedur itu adalah mandatori bagi pemurnian yang maksimum melalui libat urus membabitkan semua pemegang taruh.

Katanya, perkara itu harus dimuktamadkan bukan saja untuk mengelak pindaan perlembagaan berkali-kali ke atas perkara atau fasal yang sama, malah memastikan setiap pindaan mematuhi keperluan perundangan.

Beliau berkata, prosedur itu juga bagi memastikan kepatuhan terhadap pelbagai perjanjian terutama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan segala perakuan dan jaminan ketika pembentukan Malaysia.

“Sejak Pembentukan Malaysia pada 1963, kita telah menyaksikan Perlembagaan Persekutuan dipinda sebanyak 58 kali.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan begitu kerap telah dibuat karena ia dilaksanakan secara tergesa-gesa dan reaksioner (reactionary) sehingga memberi kesan kepada perundangan yang lain, menyebabkan ia perlu dipinda semula.

“Sebagai contoh, dalam Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, iaitu berkaitan definisi negara Malaysia yang dipinda sebanyak dua kali pada 1976, kemudian dipinda kembali kepada asal pada 2022 seiring dengan MA63,” katanya.

Beliau mencadangkan perkara itu ketika membahaskan RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024, pada Persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Madius berkata, sebagai Ahli Parlimen yang sudah mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, semua adalah bertanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu katanya, apabila terdapat RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, ia harus dilakukan dengan teliti.

“Satu lagi contoh ialah pindaan Perkara 122 iaitu berkaitan pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang telah dipinda pada 1994 di dewan yang mulia ni tanpa merujuk kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Pada masa ini, status pindaan itu masih tergantung. Apakah pindaan ini terpakai atau tidak? Tuaran sebagai Ahli Parlimen lima penggal telah memperjuangkan perkara ini berkali-kali namun Menteri Undang-Undang sebelum ini berkata bahawa biarlah keabsahan pindaan tersebut ditentukan oleh mahkamah.

“Kenapa pula perlu rujuk ke mahkamah untuk buat keputusan, sedangkan kita ini adalah ‘the highers institution in the country’. Dewan Rakyat ini yang menentukan, kalau sudah silap kena betulkan. Itulah makanya setiap pindaan perlembagaan perlu dirujuk kepada JPKP,” katanya.

Menyentuh mengenai usul pindaan RUU itu, Madius berkata beliau secara prinsipnya menyokong RUU berkenaan.

“Hari ini kita memperjuangkan hak wanita yang mana akhirnya wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan orang asing dan anaknya lahir di luar negara secara automatik akan menjadi warga negara Malaysia. Terima kasih kita menyokong pindaan ini.

“Tapi hak wanita asing pula yang menjadi isteri kepada suami tempatan, beliau dikehendaki menggugurkan kerakyatan di negara asal untuk mengikut kewarganegaraan suaminya di Malaysia kerana negara ini tidak membenarkan dua kerakyatan.

“Namun mengikut perundangan ini, sekiranya perkahwinan mereka terbubar atau bercerai dalam tempoh dua tahun, maka kerakyatan wanita asing itu di Malaysia akan hilang atau ditarik balik.

“Ini bermakna wanita ini akan menjadi orang tanpa negara (stateless). Sepatutnya apabila kita memperjuangkan hak wanita dalam RUU yang sama, kita perjuangkan sekali tentang hal-hal seumpama ini. Tapi ini tidak. Inilah yang akan berlaku sekiranya kita melaksanakan pindaan secara tergesa-gesa.

“Sehubungan itu, saya sekali lagi memohon agar rakan-rakan Ahli Parlimen menyokong sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat selepas ini hendaklah mandatori dirujuk terlebih dahulu kepada JPKP yang terdiri daripada ahli-ahli dewan pelbagai parti untuk menjalankan tugas libat urus dan mendengar pendapat daripada pemegang taruh termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil, pakar-pakar akademik dan rakyat jelata,” katanya. – Info X