Search

Teknologi AI bantu kecekapan perkhidmatan kerajaan – Ketua Menteri

October 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat menerusi integrasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin dalam proses pendigitalan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata AI adalah kuasa besar yang sedang mengubah industri dan merevolusikan cara hidup serta bekerja.

Katanya, era kini yang sedang di ambang Revolusi Perindustrian Keempat, menjadikan AI sebagai teknologi yang menawarkan peluang dan cabaran yang belum pernah berlalu dalam pelbagai sektor, termasuk tadbir urus tanah.

“Dalam bidang ukur, hartanah, dan pembinaan, AI muncul sebagai pemangkin inovasi yang mendorong tahap kecekapan, ketepatan dan prestasi yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Kongres Juruukur Antarabangsa Sabah 2024 anjuran Institut Diraja Juruukur Malaysia (RISM) di Magellan Sutera, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa juruukur di negeri ini untuk menerajui penggunaan teknologi AI dan pembelajaran mesin, memainkan peranan transformatif dalam tadbir urus tanah dengan meningkatkan kecekapan kerja, ketelusan, proses membuat keputusan dan sistem penyampaian.

“Dengan mengguna pakai AI generatif, juruukur dapat menyumbang secara signifikan kepada usaha Kerajaan Sabah dalam merumus, melaksanakan, dan mengurus dasar perumahan, menangani cabaran seperti perumahan mampu milik serta mengoptimumkan penggunaan tanah dan perancangan bandar,” katanya.

Beliau berkata tema Kongres Juruukur Antarabangsa Sabah 2024, iaitu ‘AI dan Tadbir Urus Tanah’ sangat bertepatan kerana teknologi AI sudah memberi kesan mendalam dalam pelbagai aspek kehidupan harian dan operasi perniagaan.

Ketua Menteri berkata, kongres itu menyediakan platform yang baik bagi juruukur untuk meneroka dan memahami kuasa transformatif AI dan pembelajaran mesin.

“Ketika kita menerima AI dan kemajuan teknologi, adalah penting untuk mengintegrasikan amalan mampan ke dalam strategi tadbir urus tanah kita.

“Tadbir urus tanah yang mampan memastikan sumber tanah diurus dengan bertanggungjawab, mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial.

“AI boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan tadbir urus tanah yang mampan. Dengan menggunakan alat berkuasa AI, kita boleh memantau corak penggunaan tanah, mengesan aktiviti haram, dan menilai kesan alam sekitar secara masa nyata.

“Ini membolehkan kita membuat keputusan yang berinformasi untuk melindungi sumber asli kita dan mempromosikan pembangunan mampan,” katanya

Selain itu, Hajiji berkata AI juga dapat menyokong pemuliharaan biodiversiti dengan menganalisis data daripada pelbagai sumber, seperti imejan satelit dan rangkaian sensor, untuk memantau habitat hidupan liar dan mengesan perubahan dalam ekosistem.

“Maklumat ini penting bagi membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Dengan mengintegrasikan AI ke dalam amalan tadbir urus tanah kita, kita boleh memastikan usaha pembangunan adalah mampan, memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang,” katanya. – Info X