Search

Semua balai bomba Sabah giat laksana rondaan susulan gempa 6.8 magnitud

February 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini melaksanakan rondaan serta pemantauan di kawasan jagaan masing-masing susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang menggegarkan perairan Kota Kinabalu, tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan setakat ini tiada sebarang panggilan kecemasan diterima berkaitan kejadian berkenaan.

Menurut kenyataan itu, langkah rondaan dijalankan sebagai tindakan awal bagi memastikan keselamatan orang awam serta keadaan persekitaran kekal selamat dan terkawal.

“Di Kota Kinabalu, anggota BBP Kota Kinabalu membuat rondaan di kawasan tepi laut berhampiran Sabah International Convention Centre (SICC) bagi memantau sebarang kemungkinan kejadian susulan.

“Di Kudat, pasukan bomba menjalankan pemantauan di kawasan perumahan PPR Taman Ehsan serta sekitar pesisir Pantai Bak-Bak, manakala keadaan di pekan Kudat dilaporkan normal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, BBP Putatan turut melaksanakan rondaan di sekitar pesisir Pantai Lok Kawi dan Taman Teluk Villa sebagai langkah berjaga-jaga.

“Pasukan BBP Kota Belud membuat rondaan di Pantai Kampung Buah Pandai bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima dan keadaan di semua lokasi yang dipantau berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Terdahulu, gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 dilaporkan berlaku pada jam 12.57 tengah malam di perairan Kota Kinabalu, kira-kira 49 kilometer barat Kudat dengan kedalaman 678 kilometer.

Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Sabah serta sebahagian Sarawak, namun tiada ancaman tsunami dikeluarkan. – Info X