TONGOD: Dua unit kuarters Klinik Kesihatan Tongod musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Dalam kejadian itu, sebuah rumah kuarters dua pintu jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 223 meter persegi dilaporkan terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah jenis tidak kekal dengan keluasan sama terbakar 20 peratus.
Turut terjejas sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus akibat bahang kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi sebelum menggerakkan enam anggota bersama dua jentera ke lokasi sejauh 172 kilometer dari balai.
Katanya, jentera tiba pada jam 6.30 pagi dan kebakaran berjaya dikawal 18 minit kemudian.
“Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod yang menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan satu pancutan menggunakan pam angkut serta sumber air daripada pili bomba berhampiran.
“Pasukan BBP Kota Kinabatangan pula menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.58 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X