KOTA KINABALU: Penyerahan kuasa pentadbiran pendidikan dan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak kini sedang diperincikan oleh Jawatankuasa Urusetia Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutamanya dalam konteks pengambilan pekerja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penyerahan kuasa pendidikan dan kesihatan kepada kedua negeri itu bertujuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru dan petugas kesihatan di Sabah dan Sarawak.
“Kita memikirkan bahawa kalau dapat dikembalikan dalam konteks pentadbiran supaya bidang pentadbiran untuk pendidikan dan kesihatan ini kepada Sabah dan Sarawak khususnya pengambilan pekerja-pekerja.
“Ini supaya kita dapat menentukan siapa, jawatan yang kosong itu nanti mesti diisi dan mesti bertugas di Sabah dan Sarawak,” katanya, di sini, hari ini.
Pada masa sama, katanya, langkah menyerahkan kuasa pentadbiran dua sektor itu juga dilihat sebagai jalan penyelesaian terhadap kekosongan jawatan yang gagal diisi oleh para penerima jawatan sebelum ini.
“Cabaran Sabah dan Sarawak, semua perancangan berhubung kait dengan pendidikan dan juga kesihatan dilaksanakan di ibu pejabat iaitu di Putrajaya termasuklah pengambilan guru, pegawai-pegawai kesihatan dan sebagainya.
“Bila tawaran-tawaran ini dibuka, ditemuduga dan jawatan itu diisi, kebanyakan masanya bila tawaran itu ditawarkan kepada pegawai-pegawai meraka tidak mahu pindah ataupun bertugas sama ada di Sabah ataupun di Sarawak sebab mereka ingat kawasan pedalaman.
“Jadi, akhirnya jawatan itu diisi tapi tidak ada pegawai yang bertugas, berkhidmat di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, Sabah dan Sarawak sebelum ini dilaporkan mengalami kekurangan guru dan petugas kesihatan pada tahap serius.
Salah satu faktor berkait rapat kepada masalah berkenaan ialah tindakan sebahagian besar penerima jawatan menolak untuk ditempatkan di kedua negeri berkenaan. – Info X