Search

UMS catat sejarah, menang pingat emas tertinggi di ITEX

May 15, 2023

admin



KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta satu lagi sejarah apabila memenangi jumlah pingat emas tertinggi di Pameran Inovasi, Penemuan dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023.

UMS yang membawa 20 inovasi terbaharu ke pertandingan berkenaan menghasilkan 13 pingat emas, enam pingat perak, dan empat anugerah khas.

Universiti itu dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada kesungguhan dan latihan yang diilhamkan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Kasim Mansor dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly.

“Selain jumlah kutipan pingat yang memberangsangkan, UMS juga memenangi beberapa anugerah khas.

“Prof. Madya Dr Jidon @ Adrian Janaun memenangi Anugerah Produk Inovatif Malaysia (MIPA) dalam kategori Peralatan, Elektronik, Mesin untuk inovasinya yang bertajuk Residual Oil Extractor (ROE).

“Beliau juga memenangi Anugerah Ciptaan Terbaik (Top 3 Grand Winner) untuk produk yang sama,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pemenang anugerah khas UMS yang lain termasuk Dr Norhayati Ayob, yang memenangi Anugerah Ciptaan Terbaik dalam kategori Produk Rumah Tangga bagi inovasi bertajuk Lapohan Artistry.

“Dengan pencapaian yang cemerlang, UMS sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap inovasi dan penyelidikan.

“Tahniah kepada semua pemenang dan UMS atas prestasi luar biasa mereka di ITEX 2023.

“Universiti ini melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (PPIP), akan terus berusaha untuk menterjemahkan anugerah kepada pengkomersialan,” kata kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, ITEX merupakan pameran tahunan yang mengumpulkan perekacipta, inovator, dan usahawan teknologi dari seluruh dunia untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

Berlangsung pada 11 – 12 Mei 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ia merupakan salah sebuah pameran terbesar yang seumpamanya di Asia Tenggara. – Info X