Search

SERTAI KHEMAH BESAR BUKAN PENYELESAIAN UTAMA BANTU NEGARA SELESAIKAN MASALAH – SHAFIE

June 4, 2022

admin

KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan khemah besar bukan penyelesaian utama dalam melepaskan belenggu negara daripada pelbagai masalah.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Malaysia memerlukan kepimpinan pemerintahan mampu meletakkan negara bukan hanya dapat menyatukan rakyat tetapi mampu melepaskan negara daripada belenggu pembayaran hutang yang banyak serta masalah pengangguran.

“Cukuplah berapa khemah sudah saya masuk. Khemah Barisan Nasional, khemah Pakatan harapan.

“Rumah kita sendiri khemahnya sudah dicabut. Saya mahu pastikan Warisan itu diperkuatkan terlebih dahulu,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohd Shafie menyatakan pihaknya bakal melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti berkenaan tahun ini selaras dengan saranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Kita beberapa bulan lalu sudah memohon kepada ROS untuk menangguhkan AGM namun pihak ROS pada 26 Mei lalu telah menolak permohonan itu.

“Oleh itu, kita akan maklumkan kepada majlis tertinggi bahawa AGM perlu diadakan.

“Dalam mesyuarat tadi pun, kita perincikan selepas ini setiuasah agung akan edarkan surat pekeliling untuk membolehkan supaya perjalanan mesyuarat parti ini akan dilakukan pada tahun ini.

“Ia selaras dengan yang disarankan oleh ROS dan juga mengikut perlembagaan.

“Kita juga telah putuskan supaya mulakan mesyuarat cawangan-cawangan mulai pada bulan Jun depan dan selepas itu, ia disusuli mesyuarat bahagian-bahagian dan mesyuarat agung sayap-sayap yang kemudiannya ikuti AGM parti.

“Kemungkinan selepas Julai atau Ogos baru kita boleh adakan AGM dan pemilihan akan diadakan di semua peringkat,” katanya. – Info X