Search

SESB pasang ERS elak talian hubungkan pantai timur Sabah terjejas

March 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengambil langkah segera memasang lapan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di dua lokasi yang dikesan berlaku pergerakan tanah di daerah Ranau.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata pemasangan menara ERS itu penting bagi memastikan talian penghantaran tenaga 275 kiloVolt (kV) ke pantai timur Sabah tidak terjejas.

Katanya, dua menara talian penghantaran Grid Sabah, masing-masing di Kampung Randagong dan Nabutan, Ranau dikesan dalam keadaan senget selain didapati ada struktur yang patah akibat pergerakan tanah.

Beliau berkata, jika menara terbabit tumbang, kawasan pantai timur Sabah bakal berdepan kekurangan bekalan dan tenaga terpaksa dicatu memandangkan sebahagian besar keperluan elektrik di kawasan itu dibekalkan dari janakuasa di pantai barat Sabah.

“Hasil pemeriksaan di tapak baru-baru ini mendapati terdapat dua lokasi berlaku mendapan dan pergerakan tanah yang aktif di sekitar tapak menara talian penghantaran 275 kV dan keadaan ini menjejaskan kestabilan struktur utama menara berkenaan.

“Kedua-dua menara berkenaan amat kritikal kepada talian penghantaran Grid 275kV Kolopis – Segaliud kerana kapasiti tenaga sekitar 200 MegaWatt (MW) perlu disalurkan ke pantai timur Sabah setiap hari dari pantai barat Sabah.

“Berikutan itu SESB mengambil tindakan pantas untuk memasang menara ERS berhampiran menara yang terjejas dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan negeri Sabah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dua menara Sistem Pengalihan Kecemasan (ERS) dipasang SESB di menara yang mengalami masalah struktur di Ranau. – Foto/SESB


2. Anggota Sabah Electricity Sdn Bhd

Beliau berkata, kerja pengalihan talian ke menara ERS sudah bermula pada 7 Februari lalu dan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh lima minggu.

Katanya, seluruh Sabah pernah berdepan terputus bekalan elektrik apabila sebuah menara penghantaran voltan tinggi tumbang pada April 2008.

Berikutan kejadian itu, katanya SESB merangka pelan sokongan bagi mengelak situasi sama berulang terhadap semua menara penghantaran elektrik di negeri ini.

Selain di Ranau, Mohd Yaakob berkata menara ERS turut dipasang di beberapa lokasi yang memerlukan pemindahan menara, antaranya di laluan Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Papar.

“Tiang ERS ini ada di banyak tempat sekarang, antaranya di laluan Pan Borneo di Benoni, Papar dan di Sepanggar.

“Bagaimanapun, ketika ini SESB kekurangan stok tiang ERS. Oleh itu kita meminta bantuan TNB meminjamkan tiang, khususnya untuk di Kampung Randagong, Ranau,” katanya. – Info X