Search

Lelaki bawa daun ketum, syabu ditahan di Tenom

March 1, 2024

Info X Reporters

TENOM: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 102.7 kilogram daun ketum dalam operasi Bersepadu Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Tenom-Keningau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom turut merampas dadah jenis syabu yang dibawa oleh suspek berusia 41 tahun.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superitenden Polis Hasan Majid berkata, kejadian disedari apabila polis menahan sebuah kenderaan yang dinaiki suspek warga tempatan terbabit.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Polis Hasan Majid.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan lapan guni berisi daun yang disyaki daun ketum.

“Turut ditemui bersama individu terbabit iaitu sejumlah dadah jenis syabu serta peralatan yang disyaki digunakan sebagai alat untuk menghisap dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rampasan daun ketum seberat 102.7 kilogram bernilai RM2,000 dan semua rampasan dibawa ke IPD Tenom untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lapan guni berisi daun ketum yang ditemui dalam kenderaan dipandu suspek. – Foto/PDRM

Sementara itu, Hasan berkata, Ops Bersepadu SJR ini dilaksanakan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan serta Penguatkuasaan Trafik IPD Tenom.

Katanya, Ops Bersepadu SJR akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan dan kesalahan yang melibatkan undang-undang jalan raya.

Polis turut merampas dadah syabu dan peralatan digunakan untuk menghisap syabu. – Foto/PDRM

“Polis akan sentiasa memantau dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.

“Masyarakat juga dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah ini melalui talian 087-736211,” katanya. – Info X