KOTA KINABALU: Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dambai, Jalan Kionsom, di Inanam, dekat sini petang ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran.
“Kebakaran melibatkan 4 buah rumah jenis tidak kekal iaitu tiga rumah musnah habis manakala sebuah lagi terbakar 50 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 200 kaki satu pancutan dari jentera BBP Lintas dan satu aliran 100 kaki satu pancutan dari Jentera BBP Kota Kinabalu.
“Sumber air diperolehi dari Water Tanker dan pili bomba berhampiran dengan operasi dilaporkan terkawal pada jam 15.44 seterusnya api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.35 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, operasi berkenaan turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). – Info X