Search

Sidang DUN: 1,200 kilometer paip usang antara punca gangguan bekalan air

July 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah berdepan masalah jaringan paip usang sepanjang kira-kira 1,200 kilometer, dikenal pasti antara punca sering berlaku kebocoran.

Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, ketika menjelaskan masalah gangguan bekalan akibat kebocoran paip lama pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Selasa.

Beliau berkata, paip lama itu perlu diganti bagi mengatasi masalah kebocoran, namun pelaksanaannya tidak dapat dibuat serentak di seluruh negeri.

“Di Sabah, kita mempunyai jaringan paip yang lama daripada jenis AC (Asbestos Cement) lebih kurang 1,200 kilometer panjang.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS
memang mempunyai perancangan untuk mengganti paip yang usang itu seperti program penggantian paip usang dan menaik taraf paip transmisi di Sandakan, Keningau dan Kota Kinabalu.

“Namun demikian, sekiranya kita hendak menggantikan paip usang itu secara sekali gus, ia akan menelan kos yang agak tinggi. Oleh itu, ia akan dilakukan secara berfasa,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Annuar Ayub (GRS – Liawan) pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN.

Annuar bertanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan atau program untuk menggantikan paip lama yang sering pecah khususnya di kawasan yang sering mengalami gangguang bekalan air disebabkan kebocoran paip.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pada masa sama JANS melantik kontraktor pembaikan bagi melaksanakan kerja membaiki paip bocor dan rosak di seluruh Sabah sejak tahun lalu.

“Ini adalah usaha kita untuk membaiki dan mengganti paip usang serta bocor yang sedang berlaku di beberapa kawasan di Sabah,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Annuar mengenai usaha menangani masalah bekalan air di Sabah, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, berkata kementeriannya melalui JANS komited merancang dan membangunkan sistem bekalan air yang lestari

Katanya, pihaknya juga akan memastikan penyampaian bekalan air yang selamat, berkualiti dan berterusan kepada seluruh pengguna di Sabah.

“Selain itu, JANS juga komited untuk mempertingkat tahap penyampaian perkhidmatan dengan menyediakan perkhidmatan yang efisien, profesional dan berorientasikan pelanggan demi menjamin kepuasan pengguna,” katanya.

Sementara itu, katanya sehingga Rolling Plan Kelima (RP5) 2025 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melalui Program Pinjaman Mudah Persekutuan, JANS sudah dan sedang melaksanakan 18 projek di pantai barat, 15 projek di pedalaman, 12 projek di Tawau dan lima projek di Sandakan serta dua projek di Kudat. – Info X