Search

Sidang DUN: ‘Sabah tidak dipinggirkan dalam eksplorasi minyak dan gas di Sandakan’ – Masidi

July 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyangkal tidak mendapat apa-apa dalam eksplorasi terbaharu minyak dan gas oleh PETRONAS di perairan Sandakan berikutan tiada syarikat tempatan dari negeri itu terbabit dalam eksplorasi berkenaan.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata adalah tidak benar hanya syarikat luar diberi kontrak, manakala syarikat tempatan dipinggirkan oleh PETRONAS tanpa sebarang peranan dalam projek itu.

Beliau mengakui, PETRONAS memberi kontrak eksplorasi kepada syarikat luar, namun menjelaskan bahawa dua syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sabah, SMJ Energy Sdn Bhd dan Sabah International Petroleum (SIP) tetap mempunyai skop pembabitan masing-masing.

“Bidaan eksplorasi dan kerja-kerja kecil adalah dua perkara yang berlainan. Apabila menyentuh eksplorasi, ia membabitkan wang yang banyak dan kos berbilion ringgit.

“Ketika ini, SIP dan SMJ Energy belum layak membuat bidaan kerana kita tiada kepakaran, tapi percayalah SMJ Energy ada skop pembabitan yang kita akan umum kemudian dalam semua urusan cari gali atau hiliran di Sabah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan – Senallang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Shafie bertanya kenapa SMJ Energy dan SIP tidak berunding dengan PETRONAS berhubung eksplorasi di perairan Sandakan, sebaliknya menyerahkan kontrak kepada sebuah syarikat dari Semenanjung seperti diumumkan PETRONAS sebelum ini.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata sebarang tindakan perlu dibuat secara praktikal mengikut kemampuan yang ada pada ketika ini.

“Kita perlu praktikal, bukan semua lita mampu buat pada masa ini. Selalu kita ini dibanding dengan Sarawak tetapi minyak ditemui di Sarawak lebih 100 tahun lalu, mereka mendahului selama 100 tahun, sedangkan kita baru bermula.

“Kita baru merangkak, mereka sudah berlari. Jadi saya berharap Senallang (Shafie) melihat ini dalam perspektif yang lebih luas kerana pertamanya, kita belum ada kepakaran yang memungkinkan kita sama-sama membida kerana ini ialah bidaan antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya situasi itu bukan bermakna syarikat Sabah tidak terbabit langsung dalam penerokaan sumber baharu minyak dan gas di negeri ini.

“InsyaAllah, SMJ Energy atau PETRONAS akan mengumumkan pembabitan kita dalam sedikit masa lagi, dalam semua urusan pencarian minyak di Sabah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa belum ada hasil minyak yang diperolehi di perairan Sandakan setakat ini kerana kerja eksplorasi yang dijalankan masih di peringkat awal.

Kerja itu, katanya memerlukan modal yang banyak dan ia tidak dimiliki oleh syarikat minyak dan gas tempatan di Sabah.

“Jadi, janganlah kata kita tidak mendapat apa-apa, akan ada syarikat Sabah yang terbabit nanti,” katanya.

Beliau berkata, PETRONAS tidak meminggirkan Sabah dalam aspek agihan manfaat, malah segala kerjasama dibuat melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang membolehkan kerajaan negeri terbabit secara langsung dalam menentukan hala tuju sektor minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau dan memperhalusi tahap pembabitan Sabah dalam industri berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa apa yang tiada perkara yang diberikan PETRONAS kepada Sarawak, tidak diberikan kepada Sabah setakat ini.

“Dasar kita sangat senang, terbit dari perjanjian kerjasama dengan Petronas, kita ada jawatankuasa untuk menentukan sejauh mana penglibatakn kita dalam sektor minyak Sabah.

“Jadi itu kita buat, yang bezanya, kita buat kerja diam-diam ada hasil. Ada orang lain cakap tapi hasil tidak ada,” katanya. – Info X