Search
Search
Close this search box.

Sidang DUN: Keperluan elektrik Sabah 1,166 MW, rizab margin hanya 5 peratus

November 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keperluan tenaga elektrik di Sabah ketika ini mencecah 1,166 Megawatt (MW) berbanding penjanaan keseluruhan sebanyak 1,216 MW.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata perbezaan angka itu menunjukkan margin simpanan tenaga di negeri ini hanya pada tahap lima peratus.

Bagaimanapun, katanya Sabah Electricity melaksanakan usaha interim bagi memastikan margin simpanan tenaga yang mencukupi untuk kestabilan tenaga di negeri ini.

“Keperluan tenaga bagi keseluruhan negeri Sabah buat masa ini berjumlah 1,166 MW, dengan kapasiti penjanaan keseluruhan berjumlah 1,226 MW.
Jumlah Reserve Margin buat ketika ini adalah sebanyak lima peratus saja.

“Namun begitu, bagi memastikan reserve margin yang mencukupi, Sabah Electricity telah menambah set penjanaan diesel interim dengan kapasiti 90 MW yang telah siap sepenuhnya bermula pada Jun 2024 di seluruh Sabah.

“Penjanaan interim ini telah dilanjutkan selama dua tahun sehingga 2026,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kerja Raya negeri pada Persidangan DUN, hari ini.

Selain itu, katanya Sabah Electricity juga sedang berusaha untuk menambah set penjanaan menerusi Rental Gas Turbine 100 MW dan mobile BESS 100 MW yang dijangka akan beroperasi pada Julai 2025.

“Dengan adanya projek-projek yang dinyatakan ini, Reverse Margin menjelang Julai 2025 dijangka meningkat kepada 22 peratus di mana catuan beban dapat dielakkan,” katanya. – Info X