Search

Sidang DUN: Norazlinah jadi sasaran selepas ungkit insiden ditumbuk bahu

April 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif menjadi sasaran ADUN pembangkang selepas tidak berpuas hati terhadap ucapan perbahasannya ketika persidangan DUN pada Selasa kerana mengungkit insiden ‘ditumbuk bahu’ yang mendukacitakannya selaku seorang wanita.

Akibat mengungkit insiden yang berlaku terhadap dirinya pada persidangan DUN lalu itu, beliau ‘diserang’ beberapa ADUN bermula dengan Assafal P Alian (Warisan-Tungku) yang merujuk perkara dibangkitkan Norazlinah sebagai sangkaan jahat.

Norazlinah bagaimanapun menafikan melanggar peraturan DUN yang dibangkitkan Assafal itu kerana tidak menyebut nama sesiapa sebelum meneruskan ucapan perbahasan.

Sejurus selepas itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) pula bangun meminta Norazlinah mengemukakan laporan polis dan kesihatan serta hasil siasatan polis kepada DUN sebagai bukti dakwaannya mengenai insiden itu.

Norazlinah kemudian menjawab bahawa beliau sudah membuat laporan polis dan menyatakan tidak memberi laluan kepada Bung Moktar untuk mencelah sambil menyebut ‘this is my floor’ apabila Ketua UMNO Sabah itu terus mengasaknya mengenai bukti laporan itu.

Tindakan itu menyebabkan Bung Moktar meninggikan suara dan menyebut Norazlinah sebagai penipu besar di DUN, sambil mengingatkannya supaya tidak temberang dan cuba mencari populariti.

Tidak habis di situ, Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) kemudian bangkit dan sekali lagi merujuk peraturan DUN mengenai sangkaan jahat tetapi Norazlinah menafikan melakukan perkara itu.

Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya kemudian memutuskan agar Norazlinah mengemukakan aduan berhubung insiden itu mengikut peraturan tetap DUN sebelum menyatakan beliau akan berbuat demikian.

Namun, sejurus memutuskan perkara itu, Sarifuddin Hata (Warisan-Merotai) yang baru masuk ke dewan terus bangkit mencelah memberi penjelasan mengenai insiden yang disebutkan Norazlinah namun tidak diberi laluan.

Norazlinah kemudian menegaskan wanita berhak dilayan dengan bermaruah dan dihormati dengan merujuk insiden ‘ditumbuk bahu’ pada persidangan lalu.

Insiden itu didakwa dilakukan Sarifuddin berdasarkan video yang tular pada tahun lalu tetapi Norazlinah tidak menyebut nama sesiapa ketika mengungkit perkara itu dalam perbahasannya.

Sarifuddin yang mencelah berkata beliau ada dihubungi polis berhubung laporan dibuat Norazlinah pada tahun lalu, namun dimaklumkan tiada tindakan lanjut diambil dan menyatakan bahawa beliau memang menunggu perkara itu dibawa ke mahkamah.

Kemudiannya Sarifuddin yang terus mencelah walaupun diminta duduk oleh Speaker menyatakan walaupun tidak disebut nama, hanya beliau yang menumbuk, sebelum Norazlinah mengucapkan terima kasih kerana membuat pengakuan.

Selesai ‘kes’ itu, Norazlinah sekali lagi menjadi sasaran apabila mengungkit perbahasan Datuk Junz Wong (Warisan – Tanjung Aru) semalam yang disifatkannya tidak wajar kerana melabel kerajaan negeri dengan pelbagai gelaran seperti ‘funny’, ‘silly’, ‘crazy’, ‘sellfish, ‘clueless’ dan tidak bertanggungjawab.

Sesudah itu, Sarifuddin sekali lagi bangkit menyuarakan peraturan DUN mengenai ucapan perbahasan yang seharusnya menyentuh ucapan dasar oleh Yang di-Pertua Negeri.

Namun, kemudian Speaker menyebut bahawa ucapan dasar itu mengandungi perkara yang berkaitan program pemerkasaan wanita seperti Program Keusahawanan Ibu Tunggal dan Program Pembangunan Kepimpinan Wanita Berwibawa yang disifatkannya berkaitan dengan perkara dibangkitkan Norazlinah. – Info X