KOTA KINABALU: Pihak bertanggungjawab mengurus sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman didakwa melakukan kesilapan mengeluarkan kenyataan hingga menimbulkan kekeliruan dan pertikaian berhubung penganjuran sambutan itu.
Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA), Datuk Dr Jelani Hamdan, berkata pihaknya mendapati berlaku kesilapan dalam penggunaan perkataan, istilah atau frasa yang kurang tepat atau tidak lengkap dalam kenyataan yang dikeluarkan mengenai penganjuran sambutan berkenaan sebelum ini.
“Kami dan seluruh kepimpinan SAMORA ingin menjelaskan bahawa pertikaian mahupun kekeliruan yang berlaku hanyalah disebabkan kesilapan kenyataan atau penggunaan perkataan, istilah mahupun frasa yang kurang tepat atau tidak lengkap oleh pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskendalikan sambutan Hari Jadi Rasmi TYT ini.
“Malahan, selepas meneliti perincian pelaksanaannya, kami dari SAMORA menegaskan bahawa pelaksanaan sambutan hari jadi rasmi TYT bagi tahun 2025 ini tidak melanggar Perlembagaan Negeri, atau mana-mana undang-undang dan peraturan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Atas sebab itu, katanya beliau bersama barisan kepimpinan SAMORA mahu supaya pertikaian berhubung pelaksanaan sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT dihentikan serta-merta bagi menamatkan sebarang kemungkinan tercalarnya imej institusi TYT di negeri ini.
Jelani berkata, pihaknya juga mendapati kerajaan negeri tidak melakukan sebarang kesalahan, khilaf atau sebarang pembaziran berhubung pelaksanaan sambutan hari jadi TYT itu.
“Sebaliknya, usaha telah dibuat bagi memastikan penjimatan kos perbelanjaan bagi pelaksanaan hari jadi tersebut secara telus dan berhati-hati.
“Justeru, pelaksanaan sambutan hari jadi TYT bagi tahun 2025 ini selari dengan keperluan yang dinyatakan di dalam perlembagaan negeri Sabah,” katanya
Katanya, berdasarkan penelitian dan perbandingan yang dibuat Setiausaha Agung SAMORA, Prof Madya Dr Romzi Ationg, sambutan hari jadi TYT yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini jauh lebih banyak aktiviti dan tinggi kosnya berbanding tahun ini.
“Contohnya pada tahun 2024, jumlah program atau aktiviti yang disenaraikan adalah sejumlah 12 program atau aktiviti.
“Bagi mengambil kira pelbagai faktor, seperti penjimatan dan lain-lain hal, maka jumlah program atau aktiviti dikurangkan menjadi hanya sejumlah tujuh program atau aktiviti sahaja.
“Program atau aktiviti yang memerlukan kos perbelanjaan lebih besar seperti ‘big bike’ dan ‘pertandingan golf’ telah ditiadakan.
“Namun, program atau aktiviti yang lebih bermanfaat serta bersifat perlu untuk rakyat di negeri ini seperti ‘meraikan anak yatim’, ‘majlis keagamaan’ dan ‘perbarisan’ dikekalkan.
“Ini bermakna, penjimatan kos perbelanjaan keseluruhan sambutan hari jadi TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah pada tahun ini dapat diminimumkan secara signifikan,” katanya.
Jelani berkata, bersandarkan hal itu, SAMORA menggesa supaya kritikan terhadap sambutan hari jadi TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah dihentikan dan berharap kenyataannya dapat merungkai kekeliruan yang timbul.
“Selain itu, pihak SAMORA juga menyokong penuh perlantika TYT Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11. Dengan pengalaman sebagai bekas Ketua Menteri dan seorang ahli korporat, Tun Musa amatlah layak dan sesuai sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Akhir sekali , SAMORA berdiri teguh dan menyokong penuh TYT Tun dan berharap tiada lagi polemik yang timbul sama ada soal pelantikan TYT atau isu sambutan Hari Jadi TYT,” katanya. – Info X