KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan tindakan pemimpinnya mempersoalkan perbelanjaan kerajaan negeri bagi penganjuran majlis sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Beliau berkata tuduhan mengatakan tindakan itu membawa institusi Istana Negeri ke kancah politik sebagai tidak adil, selain mengelirukan lebih-lebih lagi ia dinyatakan pemimpin tertinggi negeri.
Katanya, tanggapan itu menunjukkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor gagal memahami isu sebenar yang mahu dibangkitkan oleh pemimpin Warisan.
Beliau berkata, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman dalam kenyataan mereka sebelum ini tidak pernah menghina atau menyerang institusi Istana Negeri.
“Mereka hanya mengemukakan persoalan yang jujur mengenai sama ada wajar atau tidak untuk membelanjakan wang rakyat bagi penganjuran satu sambutan, dalam keadaan ramai rakyat Sabah yang sedang bergelut dengan kesukaran hidup.
“Ingin saya tegaskan bahawa ini bukan satu serangan terhadap institusi Istana Negeri, sebaliknya, ia adalah persoalan yang sah mengenai sama ada wang rakyat sedang dibelanjakan demi kepentingan rakyat atau tidak.
“Salahkah jika kami bertanya sama ada wang itu lebih baik digunakan untuk membantu rakyat. Wang awam mesti dibelanjakan secara berhemah, setiap ringgit perlu ada justifikasi yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri yang mendakwa Warisan bertanggungjawab mengheret institusi Istana Negeri ke dalam permainan politik dan pembohongannya serta menyifatkan kenyataan dimuat naik pemimpinnya di media sosial berniat jahat.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, dalam sistem demokrasi, mengemukakan soalan mengenai perbelanjaan kerajaan bukanlah
satu kesalahan, malah ia dibenarkan dan dianggap sebagai perlu sebagai asas kepada konsep semak dan imbang.
Katanya, jika pemimpin tidak boleh disoal, terutama mengenai bagaimana dana awam digunakan, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Ini bukan soal politik, ini soal keutamaan. Dalam keadaan kehidupan yang sempit, pemimpin harus menunjukkan teladan, apabila rakyat terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian, kerajaan juga sepatutnya melakukan perkara yang sama.
“Kepimpinan yang baik bermaksud sanggup membuat keputusan yang sukar dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, bukan menganjurkan majlis yang bersifat kosmetik semata-mata,” katanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, ketika ini, rakyat Sabah berdepan pelbagai masalah yang nyata sama ada kenaikan harga barang makanan, pengangguran, banjir, kemudahan asas yang uzur, dan kekurangan perkhidmatan asas yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.
“Parti Warisan sentiasa mendukung prinsip perbelanjaan berhemah dan tadbir urus yang telus. Kita sering dengar pemimpin bercakap mengenai penjimatan tetapi apabila melibatkan acara kerajaan, prinsip itu seolah-olah tidak terpakai.
“Inilah sebabnya kami mengemukakan persoalan itu. Darell dan Azis pernah berkhidmat dalam kerajaan, mereka tahu bagaimana sesuatu acara rasmi diuruskan.
“Soalan yang dikemukakan mereka bukan bersifat peribadi dan jauh sekali tidak beradab, ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat,” katanya.
Shafie mendakwa, apabila sesebuah kerajaan mula melabel setiap persoalan sebagai ‘pembohongan’ hanya kerana ia datang daripada pembangkang, ia bukan kepimpinan, sebaliknya satu tanda keresahan untuk membisukan suara rakyat.
“Kami menyeru agar Ketua Menteri memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting. Sediakan pekerjaan, baik pulih jalan rosak, sekolah, hospital dan ringankan beban kehidupan rakyat Sabah.
“Parti Warisan akan terus memperjuangkan kejujuran, tadbir urus yang baik dan hak rakyat untuk bertanya walaupun persoalan itu tidak menyenangkan pihak yang berkuasa. Inilah erti demokrasi yang sebenar,” katanya. – Info X