Search

Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS) bantu rakyat beli rumah

January 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melancarkan Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS) bagi meningkatkan pemilikan rumah yang disasar memberi manfaat kepada 10,000 rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SRRS sejajar dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Katanya, peningkatan kos sara hidup menyebabkan rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri khususnya di kawasan bandar utama seperti Kota Kinabalu.

“Pelancaran skim perumahan yang inovatif ini akan mengubah landskap pemilikan rumah di negeri ini.

“Skim ini akan memberi manfaat kepada 10,000 orang yang layak di Sabah untuk membeli rumah pertama mereka di lokasi bandar utama, dengan harga jualan tidak lebih RM500,000 serta dengan kemasukan yang mudah.

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan dan Sabah Credit Corporation selaku penyedia tunggal pembiayaan utama skin ini, akan bekerjasama rapat dengan CFS Usaha Tegas untuk membangun dan memperhalusi rangka kerja skim perumahan ini,” katanya pada pelancaran skim berkenaan di tapak projek 360 Boulevard Bundusan pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih.

Hajiji menggesa rakyat Sabah yang layak agar tidak melepaskan peluang istimewa yang ditawarkan melalui skim berkenaan.

Isnin (tiga kiri) mewakili Ketua Menteri melancarkan Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS).

“Skim ini menyediakan syarat kemasukan yang mudah dan manfaat seperti kadar faedah yang lebih rendah dan tetap, tempoh pembayaran balik pinjaman yang lebih panjang, pinjaman 100 peratus penuh dan pelan pembayaran balik khas.

“Di samping itu skim ini secara tidak langsung dapat memupuk sikap jati diri dan keinginan dalam kalangan anak muda untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemaju tempatan yang menyertai skim itu, terutama Borneo Kemuncak Riang yang menawarkan Boulevard 360 Bundusan sebagai rumah pertama SRRS.

“Saya berharap dengan pelancaran skim ini, kita akan mencipta lebih banyak kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju untuk memenuhi keperluan semua peringkat pendapatan di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, pelancaran rasmi SRRS membuka satu lagi lembaran baharu dan penting dalam usaha kerajaan negeri menjana pembangunan ekonomi negeri, selain untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat bagi memastikan semua peringkat rakyat mendapat manfaat daripada setiap pembangunan yang dilaksanakan.

Seiring dengan komitmen itu katanya, kerajaan negeri terus memberi perhatian yang lebih menyeluruh terhadap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, untuk semua peringkat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Jelasnya, selain pembinaan projek perumahan kos rendah dan perumahan awam mampu milik, kerajaan juga meneruskan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang dilancarkan pada 2022.

Setakat Oktober 2024, katanya sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ telah dibina, manakala bagi 2025 sebanyak RM250 juta iaitu peningkatan 100 peratus peruntukan bagi pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra SMJ akan dilaksanakan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN). – Info X