KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah Sdn Bhd (SOGDC) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat broker kapal berpangkalan di London bagi penyediaan fasiliti di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Menerusi kerjasama itu, SOGDC dan EA Gibson Shipbrokers Ltd (Gibson) menandatangani perjanjian yang membuka jalan untuk melaksanakan pembangunan bersama fasiliti minyak dan gas di SOGIP.
Ia termasuk pembinaan jeti, terminal simpanan hidrokarbon atas pesisir, loji janakuasa terapung, operasi bunkering gas asli cecair (LNG) dan kapal ulang alik LNG.
Menandatangani dokumen perjanjian bagi pihak SOGDC ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Harun Ismail, Gibson diwakili Pengarah Urusan syarikat itu, Roger David Harrison.
Majlis menandatangani perjanjian di antara kedua-dua syarikat itu yang diadakan di Menara Kinabalu, di sini, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama ialah Pengerusi SOGDC, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
SOGDC dan Gibson turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membekal bahan mentah dengan Aramco Trading Singapore Pte Ltd bagi memastikan kelestarian sumber projek itu.
Projek berkenaan dijangka menjana kira-kira 1,600 peluang pekerjaan. – Info X