Search

Tiga premis di Anjung Selera kotor, gagal patuhi syarat diarah tutup

June 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengarahkan tiga premis makanan ditutup dalam operasi penguatkuasaan Akta Makanan 1983 di Anjung Selera, Likas, di sini, semalam.

Arahan dikeluarkan selepas pemilik gagal memastikan premis berada dalam keadaan yang bersih dan pengendali makanan tidak mempunyai kursus pengendalian makanan atau suntikan anti-tifoid sepertimana yang dikehendaki mengikut Seksyen 11 Akta
Makanan 1983.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna berkata, operasi yang membabitkan 22 pegawai penguat kuasa serta kakitangan daripada Unit Inspektorat, Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu itu juga mengeluarkan empat notis kompaun mengikut Seksyen 32B daripada 14 premis yang diperiksa.

“Operasi ini dijalankan bagi memastikan semua premis makanan di kawasan Anjung Selera, Likas memenuhi keperluan kebersihan premis seperti yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Operasi ini termasuklah pemeriksaan tempat penyediaan dan penyimpanan makanan, kebersihan pengendali makanan termasuklah status vaksinasi anti-tifoid, rekod menghadiri kursus pengendalian makanan, pemeriksaan Kesihatan dan pakaian ketika mengendalikan makanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa peka dalam aspek keselamatan makanan.

Pegawai penguat kuasa JKNS melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.

“Semua pengendali makanan juga turut diingatkan untuk mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada orang ramai.

“Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan isu keselamatan makanan, orang ramai boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X