KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga yang amat penting untuk kemajuan berterusan ekonomi Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SOGIP memperolehi banyak pelaburan termasuk berimpak tinggi antaranya Syarikat Esteel untuk kilang keluli (Green Steel) dengan nilai pelaburan berfasa sebanyak RM20 bilion.
Beliau berkata, terbaharu Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion(USD2 bilion) iaitu kerjasama di antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) yang menguruskan SOGIP dan Gibson Shipbrokers Limited, menjadikan Sabah sebagai hub utama dalam sektor tenaga Asia Tenggara.
Sehubungan itu, katanya kerajaan terus komited dalam memberikan sokongan penuh kepada pelaburan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah.
“Saya yakin dengan kejayaan projek ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri minyak dan gas, sekali gus menjadikan Sabah sebagai hab tenaga yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Kita bersyukur kerana Sabah kaya dengan sumber semulajadi seperti hutan, galian, fauna, flora serta hidupan laut.
“Lokasi strategik, persekitaran politik stabil, sumber semula jadi yang banyak dan ekonomi yang pelbagai antara faktor menjadikan Sabah sebagai pilihan sesuai untuk pelabur asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Selasa.
Katanya, projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum milik Petroventure Energy SdnBhd yang dijangka bermula pada April ini, dapat membantu dalam peningkatan ekonomi negeri ini.
Jelasnya, projek itu bakal menyaksikan pembinaan loji penapisan minyak berkapasiti sehingga 150,000 tong sehari (BPD) dan kemudahan penyimpanan minyak sebanyak tiga juta meter padu bagi minyak mentah dan produk petroleum yang telah ditapis.
“Ini adalah satu lagi pelaburan baharu yang strategik yang sudah pasti akan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab industri minyak dan gas di rantau ini,” katanya.
Hajiji berkata, dengan keluasan tanah 400 ekar di SOGIP, projek itu bukan saja mampu membawa pelaburan asing langsung (FDI) bernilai lebih USD 3.5 bilion (RM15.5 bilion), malah bakal mewujudkan hampir 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
“Dijangkakan lebih 3,000 orang tenaga pekerja diperlukan sewaktu pembinaan projek ini dan lebih 1,000 orang tenaga pekerja tetap diperlukan sewaktu loji ini beroperasi sepenuhnya.
“Semua ini memberi petanda baik dalam usaha kita untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Saya sentiasa menekankan kepentingan mengutamakan pengambilan tenaga kerja Sabah dalam semua projek dan operasi di negeri ini.
“Saya mahu semua pemain industri mematuhi keperluan asas ini, sebagai prinsip utama dalam komitmen kita terhadap pembangunan tempatan,” katanya.
Hajiji berkata, projek itu turut merangkumi pembangunan jeti, fasiliti pemeringkatan minyak, makmal ujian petroleum dan bangunan pentadbiran.
Beliau yakin dengan pelbagai kajian berkaitan alam sekitar yang dilaksanakan oleh Petroventure seperti Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA), dapat memastikan projek itu dibangunkan secara mampan dan selaras dengan keperluan industri serta kepentingan alam sekitar yang diberi penekanan oleh kerajaan negeri. – Info X