KOTA KINABALU: Masjid dan surau di seluruh negeri diminta mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat berikutan bencana alam yang melanda negeri ini.
EXCO Agama, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata beliau sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani mengenai perkara itu.
“Saya sudah mengarahkan untuk meminta masjid dan surau seluruh Sabah mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan Doa Selamat bagi keselamatan dan kesejahteraan negeri Sabah dan rakyat di negeri ini keseluruhannya agar dilindungi Allah SWT dan selamat dari malapelata dan mara bahaya sepeti bencana banjir dan bencana alam yang lain.
Majlis ini boleh dilaksanakan bermula selepas Maghrib ini. Berdoalah kita agar negara kita khasnya negeri Sabah bernaung keselamatan dan kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadual di Padang Merdeka, di sini, esok.
Pembatalan itu bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap pengurusan krisis bencana berikutan sekurang-kurangnya tujuh daerah terjejas akibat banjir dan tanah runtuh setakat ini. – Info X