KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan menafikan Labuan dipinggirkan daripada menerima subsidi tiket penerbangan, sempena sambutan Kaamatan dan Gawai.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, penerbangan ke Labuan termasuk dalam inisiatif Putrajaya memberikan subsidi tiket penerbangan untuk ke Malaysia Timur, ketika musim perayaan.
“Dakwaan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mengatakan subsidi disediakan Kementerian Pengangkutan tidak melibatkan Labuan adalah tidak benar,” kata kementerian itu.
Pada Ahad, Suhaili yang juga Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kenapa kepulauan itu di Borneo dipinggirkan daripada menerima subsidi tiket penerbangan menjelang dua sambutan tersebut.
Inisiatif kerajaan bagi laluan sehala tiket penerbangan ke Malaysia Timur ditetapkan pada harga RM300, tidak termasuk cukai dan fi.
Kerajaan dianggarkan akan berbelanja antara RM5.8 hingga RM11.4 juta bagi tujuan itu. – Info X