KOTA KINABALU: Pasukan bola sepak wanita Sabah FA mencipta sejarah apabila memenangi saingan aksi pusingan awal Kumpulan C Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas, malam ini.
Kemenangan mengejutkan itu berlaku selepas Sabah FA berjaya mengatasi PFC Nasaf dari Uzbekistan 2-1 walaupun berdepan saingan sengitpasukan lawan yang lebih kuat dan bertenaga.
Kedua-dua gol Sabah FA dijaringkan penyerang import dari Myanmar, Win Theinge Tun pada minit ke-31 dan 44, sekali gus meletakkan Sabah FA di hadapan dengan 2-0 pada babak pertama.
Kedudukan itu juga kekal hingga ke minit 82 apabila pasukan lawan berjaya mendapat gol tunggal menerusi peluang yang terhasil menerusi sepakan sudut.
Pencapaian itu mengejutkan pasukan lawan yang bermain lebih agresif dan melakukan banyak serangan bermula seawal minit pertama.
Serangan demi serangan tertumpu di gawang Sabah menyebabkan penjaga gol Nurul Azurin Mazlan terpaksa bekerja keras mempertahankan gawang dengan dibantu barisan pertahanan pasukan.
Jaringan pertama Sabah pada minit ke-31 tercipta selepas Win Theinge menerima hantaran daripada Henrietta Justine dan melakukan cubaan tepat ke arah gawang lawan.
Pada minit ke-44 pula Sabah diberi sepakan penalti selepas berlaku rempuhan kuat terhadap Henrietta oleh penjaga gol PFC Nasaf, Gulomova Kumushoy yang membuatkan pengadil dari China, Tian Jin memberi sepakan penalti kepada Sabah.
Sepakan penalti dilakukan Eri Narita dari Jepun, sebelum dapat ditampan penjaga gol PFC Nasaf, namun bola terpantul ke depan dan dapat dibaca Win Theinge yang meluru ke depan melakukan cubaan tepat untuk gol keduanya.
Pada separuh masa kedua, Sabah hanya bertahan bagi mengelak cubaan berbahaya pasukan lawan dengan kebanyakan percubaan PFC Nasaf dapat dipatahkan Nurul Nazurin.
Hanya pada minit ke-82 gawangnya bolos hasil jaringan pemain lawan, Alvine Emma Ngonja yang mendapat peluang melakukan cubaan hasil hantaran sepakan sudut rakan pasukannya.
Bagaimanapun, usaha pasukan lawan untuk menambah satu lagi gol bagi mendapatkan keputusan seri sepanjang baki perlawanan, termasuk enam minit waktu kecederaan gagal.
Dengan kemenangan itu, Sabah layak mewakili Kumpulan C ke peringkat seterusnya dalam saingan AWCL 2024 / 2025. – Info X