PENAMPANG: Lelaki warga asing yang tular kerana melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah kedai runcit di Putatan, bulan lalu, akhirnya diberkas polis, semalam.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Putatan kira-kira jam 6 petang ketika berada di tepi jalan sekitar Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek kini ditahan reman dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan susulan diambil.
“Syabas dan tahniah kepada pegawai dan anggota Balai Polis Putatan atas kecekapan mereka mengesan serta memberkas suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pada 22 Jun lalu, tular video seorang wanita memarahi seorang lelaki di dalam sebuah kedai runcit di Pasir Putih, Putatan selepas lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap anak perempuannya berusia 16 tahun.
Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis pada hari sama, sebelum siasatan dan usaha mengesan suspek dilancarkan pihak berkuasa. – Info X