KOTA KINABALU: Dua suspek warga Taiwan yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes tembakan, kongsi gelap dan ‘scammer’ (penipuan) di negaranya pada 20 April lalu, tiada kaitan dengan aktiviti membabitkan rakyat di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, daripada siasatan yang dijalankan, kedua-dua suspek terbabit tidak pernah ada aktiviti jenayah di negera ini.
Sebaliknya Acryl Sani berkata, apa yang berlaku, kedua-dua suspek ini giat menjalankan aktiviti jenayah mereka di Taiwan.
“Mereka terbabit dalam satu insiden tembakan di sana (Taiwan) dan setakat itulah maklumat yang ada pada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ketika dalam tahanan kita, mereka (suspek) tidak memberikan apa-apa keterangan ataupun maklumat mengenai tindakan mereka,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Pemakaian Pangkat Pesuruhjaya Polis Sabah dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di Auditorium IPK Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa Taiwan mengenai kedua-dua suspek terbabit.
“Kita akan tunggu mungkin selepas ini pihak berkuasa Taiwan akan berkongsi maklumat mengenai aktiviti kedua-dua suspek terbabit.
“Apa yang kita tahu jenayah yang dilakukan di negara sana (Taiwan) bukan di Malaysia.
“Setakat ini, kita tidak mengesan kedua-dua individu ini ada terbabit dalam apa-apa aktiviti penipuan yang membabitkan rakyat di negara kita ini,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua warga Taiwan ini ditahah oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika memasuki negara ini melalui penerbangan dari Taiwan pada 20 April lalu.
Kedua-dua suspek adalah orang yang dikehendaki oleh pihak polis Taiwan kerana disyaki terbabit dengan kes tembakan di negara itu.
Malah, kedua-dua suspek ini juga disyaki ahli kongsi gelap serta anggota sindiket ‘scammer’ penipuan di Taiwan. – Info X