Search

Jangan mudah terperdaya taktik penjenayah siber: KPN

May 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: “Jangan mudah terperdaya dengan kelicikan penjenayah siber”. Itulah peringatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani kepada masyarakat supaya meningkatkan tahap pengetahuan berkenaan teknologi internet pada masa kini.

Katanya, umum mengetahui teknologi internet semakin hari semakin bertambah maju serta canggih lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara secara berfasa.

“Kecanggihan teknologi ini dijadikan sebagai satu medium untuk pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuat aktiviti serta kegiatan yang merugikan masyarakat.

“Penjenayah siber akan melakukan segala bentuk tipu daya, penyamaran dan sekiranya masyarakat tidak peka, berhati-hati dan berwaspada maka dengan mudah mereka akan terperangkap dalam keadaan ini.

“Masyarakat jangan mudah rasa gentar dengan taktik ataupun teknik yang digunakan penjenayah siber yang sentiasa berusaha mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Pemakaian Pangkat Pesuruhjaya Polis Sabah dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di Auditorium IPK Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya penekanan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan pengetahuan dan pendidikan siber masyarakat sentiasa dikemaskini supaya tidak mudah gentar dengan sebarang penipuan dalam talian.

“Begitu juga kepada mereka yang menjalin hubungan persahabatan atau perkenalan di alam maya supaya tidak mempercayai pihak yang tidak pernah berkomunikasi secara fizikal.

“Jangan terperdaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini sehingga boleh menyebabkan kerugian yang bukan sahaja dalam jumlah kecil malah membabitkan angka besar dan kehilangan wang simpanan untuk masa depan bagi menyara hidup khususnya di usia senja,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara sama apabila masih ramai masyarakat terjebak dengan skim pelaburan yang dilihat tidak rasional dari segi pulangan yang didakwa kononnya mencecah 10 hingga 15 peratus sebulan.

“Perkara ini tidak masuk akal kerana tidak ada perniagaan yang boleh menjanjikan keuntungan tetap secara bersih setiap bulan, perniagaan yang berjaya sekalipun perlu melalui sisi bersusah payah untuk memastikan perniagaan berjaya dan menguntungkan.

“Berhati-hatilah, kadang-kadang mereka menjanjikan hadiah menarik tetapi sebaliknya itu hanyalah satu helah untuk memperdaya mangsa membuat pembayaran dalam jumlah besar,” katanya.

Sementara itu, Acryl Sani juga menegaskan pihak berkuasa tidak akan berurusan secara terperinci melalui telefon kepada orang ramai.

“Saya ingatkan kepada orang ramai bahawa pihak berkuasa hanya menggunakan telefon sebagai medium untuk menetapkan janji temu di pejabat rasmi dan tidak akan mengutarakan butiran peribadi secara terperinci sepertimana yang dilakukan penjenayah dalam talian.

“Sentiasa berwaspada dan jangan mudah terperdaya dengan panggilan mencurigakan yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya. – Info X