Search

Pesta Kaamatan amalan perpaduan diwarisi – Jeffrey

May 2, 2023

admin



TUARAN: Tema Pesta Kaamatan iaitu Kaamatan Membudayakan Perpaduan amat relevan dengan keadaan masa kini kerana ia menekankan kepentingan perpaduan yang menjadi asas kepada keharmonian, yang telah dikecapi di negeri Sabah selama berdekad.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, sambutan Pesta Kaamatan mengingatkan kita akan keperluan untuk mengutuhkan perpaduan dengan mengamalkan nilai-nilai positif yang diwarisi oleh nenek moyang dalam interaksi seharian.

Katanya, Pesta Kaamatan (Harvest Festival) merupakan pesta tahunan yang diraikan oleh Orang-orang Asal atau Anak Negeri di Negeri Sabah, terutama sekali etnik KDMR.

Beliau berkata, asal-usul Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai yang diadakan selepas selesai menuai adalah tradisi sejak zaman dahulu kala yang merapatkan lagi hubungan orang-orang asal antara satu dengan yang lain.

“Penganjuran Pesta Kaamatan membantu memelihara warisan kebudayaan kaum bumiputera Sabah agar tidak hilang ditelan zaman.

“Rata-tanya kaum di Sabah saling mengenali budaya suku kaum lain dan sanggup mempelajari dan menjiwai sejarah budaya dan bangsa sesuatu kaum tersebut,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan Datuk Ewon Benedick, menteri-menteri dan pembantu menteri Sabah, Datuk Seri Dr Clarence Bongkos Malakun mewakili Huguan Siou Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), dan Pegawai Daerah Tuaran yang juga adalah Pengerusi Pelaksana Hadzlan Haji Jablee.

Sementara itu, Jeffrey turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kaamatan Daerah Tuaran 2023 berdasarkan kepada sumbangan mereka dalam mewujudkan perpaduan pelbagai etnik kepada empat penerima, iaitu Inai Singkaban Daim @ Odu Badin dari kawasan Sulaman, Simbongun Sampai (Kiulu), Peter Ugau (Tamparuli) dan Francis Fahir (Dalit). Setiap tokoh menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000.

Manakala Unduk Ngadau dinobatkan kepada Tati Florina Wilah yang akan mewakili Tuaran ke peringkat negeri, kedua Tati Rannysa Rachel Lee mewakili Tamparuli dan ketiga Tati Melni Dhial (Kiulu).

Pemahkotaan dan penyampaian hadiah-hadiah disempurnakan oleh Datin Seri Cecilia Edwin Kitingan yang mana johan menerima wang tunai RM10,000, kedua RM7000 dan ketiga RM5,000. – Info X