Search

Pemandu maut, empat penumpang parah

May 2, 2023

admin

TAWAU: Seorang pemandu maut, manakala empat penumpang lain termasuk dua kanak-kanak parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas Kilometer 43 Jalan Tawau – Kalabakan, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila kereta jenis Proton Saga dari Brantian menghala ke Bandar Tawau dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terbabas masuk ke dalam longkang kecil.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, semua mangsa terbabit dalam perjalanan dari Brantian menghala ke bandar Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan selekoh, pemandu terbabit hilang kawalan dan kereta mangsa terbabas sebelum masuk ke dalam longkang kecil dan dan melanggar simen longkang.

“Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 56 tahun terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Besar Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, penumpang iaitu dua wanita dan dua kanak-kanak berusia 4 hingga 39 tahun mengalami parah.

“Semua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Besar Tawau menggunakan ambulan untuk menerima rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X