SANDAKAN: Seorang penumpang maut manakala pemandu dan tiga penumpang lain parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu merempuh rumah sampah di Jalan Batu Sapi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 8.59 pagi itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku, pemandu bersama lima penumpang bergerak menaiki kereta Jenis Perodua Viva dari arah Kampung Bahagia menghala ke pusat bandar.
Katanya, setiba di lokasi kejadian, ketika memandu di lorong kiri, kereta Perodua Viva dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tempat pembuangan sampah di kiri jalan.

“Impak daripada kemalangan itu, penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu serta tiga penumpang lain parah manakala seorang penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa dihantar
Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat.
“Mangsa yang parah turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X