TUARAN: Seorang daripada dua suspek yang cuba meragut beg tangan milik peniaga kuih di tepi Jalan Sulaman berhampiran Kampung Lok Batik, di sini, berjaya ditahan polis.
Suspek lelaki ditahan pada 2 Mac lalu, hasil maklumat yang disalurkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, suspek yang ditahan itu adalah suspek utama dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan lanjut termasuk usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, video kejadian itu tular di media pada 28 Februari lalu yang menunjukkan dua suspek menaiki sebuah motosikal cuba melarikan beg tangan mangsa.
Namun suspek gagal melarikan diri selepas dihalang sebuah kereta jenis Perodua Myvi di hadapan gerai berkenaan.
Suspek kemudiannya dilihat melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan meninggalkan motosikal serta beg tangan mangsa di lokasi kejadian.
Noraidin berkata, pihaknya menerima laporan polis pada hari sama ketika kejadian daripada mangsa berusia 59 tahun yang juga pemilik gerai menjual kuih berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan dan pihak polis sudah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan.
“Polis juga menyeru masyarakat serta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian ini untuk menghubungi pihak polis di balai polis berhampiran.
“Jangan menyebarkan spekulasi berkenaan video tular itu bagi mengelakkan penyebaran berita palsu selain boleh menggangu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya. – Info X