TAWAU: Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas terserempak polis ketika rondaan cegah jenayah membawa padah apabila dia bukan saja ditahan, malah terbongkar sebagai individu dikehendaki kes tipu di Putatan, semalam.
Dalam kejadian di Kampung Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, suspek warga tempatan berusia 34 tahun itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang sedang membuat rondaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas semula selepas berlaku kejar-mengejar singkat.
“Semakan rekod jenayah melalui nombor kad pengenalan menggunakan sistem MCAD mendapati lelaki itu adalah ‘wanted person’ bagi satu kes tipu yang sedang disiasat di daerah Putatan.
“Suspek kemudian dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan pernah disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 di negeri Selangor dan di daerah Tawau sendiri.
Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu,” katanya. – Info X