KOTA KINABALU: Seorang wanita Sabah yang sebelum ini dilaporkan koma ketika berada di Vietnam selamat tiba di tanah air, petang tadi, bagi meneruskan rawatan.
Ruhana Joseph, 34, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 6.20 petang bersama suaminya sebelum terus dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim, berkata kepulangan mangsa berjaya dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Rumah Sabah, Yayasan Kebajikan Sabah, Kementerian Belia dan Sukan negeri serta Malaysia Airlines.
“Kerajaan negeri bertindak pantas berkomunikasi dengan pesakit dan suaminya, dan dengan kerjasama semua pihak, mangsa berjaya dibawa pulang ke Sabah untuk meneruskan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat Sabah, termasuk mereka yang berdepan kesulitan di luar negara.
“Kes seperti ini boleh berlaku di dalam atau luar negara dan kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan akan terus membantu rakyat Sabah yang memerlukan,” katanya.
Sebelum ini, Ruhana dilaporkan menerima rawatan di Hospital Nhan Dan Gia Dinh, Vietnam dalam keadaan koma serta memerlukan pemantauan rapi.
Kes berkenaan turut tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang kemudian mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah menyalurkan bantuan segera.
Difahamkan, usaha membawa pulang mangsa turut melibatkan pasukan perubatan yang mengiringi penerbangan bagi memastikan keadaannya kekal stabil sepanjang perjalanan. – Info X